• annatykhalid

Resolusi Cantik Sihat 2021




2021 kembali mengambil giliran setelah 2020 kita ucapkan selamat tinggal dengan seribu kenangan pahit manis. Seperti selalunya, setiap ketibaan tahun baru, setiap dari kita akan mencipta azam baru maupun ingin melakar resolusi yang positif untuk dicapai sepanjang 2021.


2020 dikatakan tahun yang hilang. Dengan kemelut covid-19 yang sudah menjadi normal baharu dalam kehidupan, 2020 pada satu ketika dahulu adalah tahun yang dinanti. Namun sebaliknya berlainan pula. 2020 meninggalkan kesan emosi, fizikal yang begitu ketara. Kita terperangkap dengan isu covid-19 yang nyata terus ‘setia’ hidup bersama sehingga waktu ini. Soal bagaimana kita mengendalikan soal SOP yang disarankan setiap masa, kini bagaikan sebati dalam pemahaman kita. Memakai mask, penjarakan sosial, sentiasa menjaga kebersihan adalah intipati kehidupan normal baharu kita hari ini. Sama ada rela atau tidak, itulah hakikat kehidupan kita pada 2021. Kita Jaga Kita!


Pun begitu, biar apapun agenda kehidupan, seperti kata pepatah, hidup perlu diteruskan. Jika terlalu mengeluh pada masalah, apa pun tidak menjadi. Jika tertekan dengan situasi sehingga kita tidak melakukan apa-apa, juga akan memudaratkan emosi sendiri. Kita harus bersikap positif dengan mencipta kelebihan pada setiap kelemahan serta kekurangan.


Tip yang tersenarai ini mampu memberikan motivasi bagaimana kita perlu mengatasi apa juga masalah terutamanya yang bersangkut paut dengan kesihatan dan kecantikan. Keduanya saling berkait. Anda perlu sihat untuk cantik. Sihat minda, barulah kecantikan itu terserlah. Sihat fizikal akan memberikan kita semangat untuk menjaga penampilan diri untuk terus yakin dengan apa yang kita lakukan.


1. Rumahku Syurgaku

Mulakan minda yang positif dari kediaman kita sendiri. Persekitaran kediaman yang selesa, bersih dan menenangkan akan mampu memberikan mood yang sempurna untuk meneruskan kehidupan. Sebagai contohnya untuk permulaan tukarlah deko ruang tamu, bilik tidur atau sudut tertentu yang jarang diubah. Tidak perlu berbelanja lebih sekadar membersihkan dan menukar posisi deko.

Bilik tidur adalah istana sebenar untuk merehatkan minda dan fizikal. Hiaslah dengan deko yang minimal. Pilihlah warna yang menenangkan dengan hiasan yang tidak terlalu semak. Sentiasa pastikan pencahayaan bilik cukup untuk matahari dan udara bergerak lancar. Kemas katil anda sebaik sahaja bangun tidur. Letak pewangi yang anda suka sebagai pengharum suasana. Pasangkan muzik kegemaran sekiranya anda berasa stress. Paling pentingkan anda perlu cukup rehat dan tidurlah dalam waktu yang betul. Tidur selama lapan jam mampu membuatkan mood dan tenaga anda akan begitu dinamik berbanding jika anda kurang tidur atau tidur lewat.


2. Makan Ikut Waktu, Berhenti Sebelum Kenyang

Mengambil sarapan adalah keperluan pagi anda. Jangan skip sarapan dengan memberi alasan semasa tengahari akan makan banyak sekaligus. Makanlah mengikut aturan dengan kuantiti yang bersesuaian dengan saiz fizikal anda. Jika anda sedang berdiet, lebihkan makanan buah-buahan dan aktif bersenam.


Pilihlah makanan yang berkhasiat. Lebihkan yang berkukus berbanding yang bergoreng serta berlemak. Makanlah mengikut waktu, dan berhenti sebelum kenyang. Apabila anda menjaga pemakanan, ianya dapat menghindar diri dari dihampiri penyakit.


3. Jaga Berat Badan

Saranan ini bukan hanya ditujukan pada yang ada masalah berat badan, mereka yang berbadan kurus atau berbadan sempurna pun perlu menjaga berat badan.


Dengan berat badan yang bersesuaian, anda mampu melakukan aktiviti seharian dengan lancar. Tubuh akan menjadi ringan, minda lebih cergas dan kesihatan badan terjamin.


Amalkan senaman ringkas untuk mengeluarkan peluh. Hormon endorphin yang dikeluarkan ketika bersenam akan menjadikan anda berasa tenang dan bahagia. Pastikan juga jumlah kalori yang diambil dalam setiap pemakanan anda. Dapatkan info kesihatan tentang cara pemakanan yang betul.


4. Jaga Penampilan Diri

Pandangan pertama itu menentukan kesan selanjutnya. Daripada pandangan pertama itulah akan memberikan keyakinan pada individu lain untuk lebih selesa dengan anda, dan anda sendiri tentunya ingin sentiasa rasa disenangi dan diperlukan oleh sesiapapun.


Jika anda belum pernah menjalani rawatan kecantikan seperti pergi ke spa, eloklah mulai dengan melakukan rawatan kecantikan asas seperti membuat rawatan membersihkan kulit wajah. Memiliki kulit wajah yang sihat dan bersih adalah anugerah. Tiada gunanya berbelanja besar untuk membeli produk kecantikan sebagai tampalan di wajah, sedangkan kesihatan dalaman kulit tidak dipeduli.


Semakin berusia seseorang itu, semakin perlulah dia peka dengan masalah kulitnya. Penuaan, jerawat, jeragat, kulit kusam dan kulit yang tidak lagi anjal antara masalah yang akan dihadapi oleh semua.


Di semua cawangan Narqes Skintelligent, sebelum sesuatu rawatan dibuat, kulit wajah akan dianalis untuk dikenalpasti masalah sebenar. Ada yang berasakan kulitnya kelihatan ‘baik’ tetapi setelah dianalis ianya tidak setara dengan usia dan kesihatan kulit itu sendiri. Inilah pentingnya analisis terlebih dahulu kerana setiap dari kita ada masalah kulit tersendiri. Tiada serum, vitamin atau produk yang dibuat untuk menangani semua masalah. Setiap masalah ada pengkhususan yang berbeza.


5. Buang Habit Buruk

Merokok, minum alkohol, ketagih makanan segera adalah punca masalah kulit dan kesihatan. Jika anda inginkan kulit yang berseri dan sihat, dinasihatkan tinggalkan habit tersebut. Ianya hanya memudaratkan berbanding keseronokan seketika.


Cipta hobi baru untuk mengelakkan anda terikat dengan habit yang lama. Berkawanlah dengan mereka yang sentiasa mementingkan kesihatan diri. Sentiasa bersikap positif dalam apa juga tindakan dan menerima apa juga masalah dalam kehidupan dengan bertenang dan rilek.


6. Bina Azam Baru

Tiada salahnya berazam pada setiap tahun baru. Ianya juga mampu memberi motivasi kepada diri sendiri bagaimana untuk terus mengejar impian. Soal ianya tercapai atau tidak, itu soal lain. Apabila anda sudah menetapkan sasaran, maka sewajarnya ianya menjadi pemangkin untuk terus melangkah ke hadapan.


Pastikan azam anda itu tidak membuatkan anda stress atau curiga samada tertunai atau tidak. Dalam masa 12 bulan sepanjang 2021, catatkan kejayaan yang telah anda lalui. Meskipun kejayaan itu pada orang lain hanya sesuatu yang biasa, tetapi jika itu sesuatu yang menggembirakan anda, maka raikan. Kejayaan bagi setiap orang berbeza, usah bandingkan sesama sendiri. Anda berjaya dengan cara anda, begitu juga dengan orang lain.


7. Sentiasa Bersyukur

Rahsia orang yang bahagia dan berjaya adalah sentiasa bersyukur. Sentiasalah bersyukur dengan apa yang kita ada, bukannya mengeluh dengan apa yang kita tiada. Bersedekahlah sekiranya anda dalam kesusahan. Dengan sikap begini akan melatih diri untuk sentiasa bersyukur kerana kita sentiasa mengingati diri bahawa masih ramai yang dalam kesusahan berbanding kita. Berkongsi rezeki adalah sifat terpuji. Tidak perlu kita menjadi kaya baru bersedekah, bantulah mereka yang memerlukan mengikut kemampuan kita.

3 views0 comments
Subscribe to Our Site

Contact Us

No. 72-G, Jalan Memanda 1,

Ampang Point Ampang,

Kuala Lumpur 68000

+6013-263 5007

©2018 Narqes